Golongan transgender sudah lama wujud di negara ini. Mereka tidak pernah tersisih atau ditindas oleh masyarakat.
Golongan ini dapat menjalani kehidupan seharian tanpa rasa tersisih. Pendek kata, masyarakat berbilang kaum tanpa mengira latar belakang memahami mereka dan boleh hidup aman damai.
Tidak pernah timbul soal penindasan ataupun diskriminasi ke atas mana-mana golongan transgender ini termasuk pondan dan makyah. Di sekolah mereka tidak disisihkan malah di tempat kerja juga tidak ditindas. Kalau ada pun ia kes terpencil.
Ada juga golongan ini yang berjaya menjadi peguam, doktor, wartawan dan pegawai kanan di syarikat-syarikat multinasional.
Ini bukti mereka tidak dibeza-bezakan malah diberi kepercayaan untuk bekerja di syarikat-syarikat gergasi ini. Mereka diambil bekerja berdasarkan kebolehan, kebijaksanaan dan profesionalisme mereka, bukannya berdasarkan fizikal atau paras rupa.
Cuma hairannya kenapa baru sekarang hak golongan ini begitu hebat diperkatakan. Mengapa setelah Pakatan Harapan (PH) memerintah timbul pula pelbagai isu untuk mempertahankan hak golongan ini termasuklah isu penggunaan tandas.
Ada yang meminta supaya golongan ini menggunakan tandas wanita dan ada yang mencadangkan supaya mereka menggunakan tandas OKU.
Dua saranan itu dibantah oleh golongan wanita dan OKU. Masing-masing mempunyai alasan kuat untuk menolak saranan tersebut.Sebelum ini semua golongan mendapat hak yang sama untuk menjalani kehidupan di negara ini.
Tidak timbul isu tandas mana patut dipakai. Tidak ada pihak rasa tersisih. Tiba-tiba keadaan menjadi celaru dan masing-masing mahu hak mereka dijaga. Cukup-cukuplah, malu pada anak kecil.
PS: Sarang tebuan jangan dijolok…










