KUANTAN 14 Ogos – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan paling ramai bagi program keusahawanan sosial membabitkan golongan muda dianjurkannya.
Program ‘Young Socialpreneur’ dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta PKT Logistics Groups Sdn. Bhd itu berjaya menarik seramai 7,402 peserta.
Pengarah Polisas, Norlida Ab. Razak berkata, penganjuran kali kedua itu menarik lebih ramai peserta mengambil bahagian dalam semua aktiviti keusahawanan sosial di seluruh negara.
“Seramai 53 kumpulan usahawan muda dari 25 Politeknik dan 10 Kolej Komuniti bersaing mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan kebajikan yang terpilih sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Program kali ini menggabungkan tiga konsep utama iaitu keusahawanan, keusahawanan sosial dan tanggungjawab sosial kepada komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norlida menerima sijil pengiktirafan itu daripada wakil MBOR, Mohd. Hafizi Hamdan dalam satu majlis di sini baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.
Norlida berkata, selain itu tujuan utama penganjurannya adalah untuk membangunkan program keusahawanan pelajar dalam bentuk yang lebih berdaya saing sejajar dengan temanya iaitu “Entrepreneurship for Sustainable Lifestyle”.
“Program berbentuk pertandingan ini memerlukan penuntut berfikir secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan keuntungan maksimum melalui aktiviti keusahawanan yang dilaksanakan.
“Peserta diadili berdasarkan kreativiti dalam membangunkan pelan perniagaan dan mengagihkan keuntungan kepada badan kebajikan yang terpilih bagi mewujudkan nilai tambah kepada para pelajar,” ujarnya.
Tambahnya, semua peserta akan menyertai Sesi Pembentangan Projek Keusahawanan kumpulan masing-masing pada 24 September ini bagi memilih 20 kumpulan terbaik.











