Polis rampas rokok disyaki seludup bernilai RM1.8 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas rokok disyaki seludup bernilai RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Polis Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan menyeludup 595,000 karton rokok bernilai hampir RM1.8 juta dalam serbuan di Kampung Tebing Tembah, Paka di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, seramai 10 pegawai dan anggota terlibat dalam serbuan pada pukul 4 pagi itu hasil risikan yang dijalankan serta maklumat awam.

Menurut beliau, dalam serbuan tersebut, pihaknya memberkas seramai 15 individu warga tempatan berusia lingkungan 26 hingga 44 tahun ketika mereka sedang menjalankan kerja-kerja memunggah 440 karton rokok ke dalam sebuah lori.

“Selepas menahan kesemua suspek terbabit, pihak polis kemudiannya menyerbu sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan di tengah laut hasil laporan yang diterima daripada nelayan tempatan.

“Pemeriksaan lanjut menemui lebih banyak karton rokok seludup yang disorok dalam bahagian kargo bot dan kita percaya bot berkenaan datang dari Vietnam dan berlabuh di perairan negara,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online hari ini.

Tambah Baharudin, berkemungkinan kesemua individu yang berada di atas bot sempat melarikan diri selepas mengetahui 15 suspek terbabit diberkas pihak polis.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, bot yang dirampas itu kemudiannya dibawa ke Jeti Pendaratan Ikan Kuala Paka dekat sini bagi siasatan lanjut manakala rampasan rokok seludup itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia daerah Kemaman. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini