KOTA BHARU 19 Ogos – Polis Kelantan sedia membantu pihak berkuasa Thailand mengesan lapan suspek yang disyaki terlibat dengan kes penemuan 41 butir bom di Takbai, Narathiwat pada Jun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, senarai nama lapan suspek berkenaan diterima pihaknya dalam mesyuarat bersama Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Manus Siksamut pada 16 Ogos lalu.
Kata beliau, senarai nama tersebut juga turut diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
“Lapan suspek terbabit lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an dan mereka semua dipercayai berasal dari negara jiran.
“Kita akan bantu pihak berkuasa Thailand mengesan suspek-suspek ini jika betul mereka berada di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Dalam majlis itu seramai 10 petugas media daripada Kosmo!, Kumpulan NSTP, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama, TV9 dan China Press menerima surat penghargaan daripada Polis Kelantan.
Pada 21 Jun lalu, Polis Thailand menemukan sebanyak 41 butir bom bersama alat peledaknya di dalam sebuah trak yang ditahan ketika sekatan jalan raya di Kampung Saring, Takbai, Narathiwat.
Berdasarkan siasatan awal, bom buatan sendiri itu dipercayai dihasilkan di negara ini sebelum diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok. – UTUSAN ONLINE











