PMINT suburkan amalan menyumbang - Utusan Malaysia

PMINT suburkan amalan menyumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 29 Ogos – Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mewujudkan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Barangan Terpakai secara kekal dalam usaha untuk membantu kalangan yang kurang berkemampuan dan memerlukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mula dibuka pada hari ini di Lot G.06, PB Sentral dalam persekitaran premis perniagaan yang menjadi tumpuan umum di pusat bandar raya ini, kewujudannya memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk turut memberikan sumbangan berterusan dan kalangan bakal penerima.

Pusat yang terletak bersebelahan lot kedai serbaneka 24 jam itu akan beroperasi selama dua jam mulai pukul 4 hingga 6 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Razaki Puteh yang melancarkan operasi pusat itu berkata, langkah yang dirintis bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan barangan yang diperlukan secara percuma.

Katanya, buat permulaan, pengumpulan barang-barang seperti pakaian lelaki dan wanita dewasa, kanak-kanak, kelengkapan, aksesori, buku, peralatan sukan dan elektronik disumbangkan oleh 31 penderma yang sebahagian besar merupakan kakitangan PMINT.

“Kita akan memastikan setiap barangan terpakai yang disumbangkan mengikut jenis yang ditetapkan dalam keadaan baik dan boleh terus digunakan,’’ katanya.

Beliau menambah, untuk memastikan operasi berjalan dengan lancar, dua petugas akan ditempatkan dalam satu masa dan akan bertugas secara bergilir.

Razaki turut mengalu-alukan kalangan orang persendirian dan pertubuhan bukan kerajaan untuk turut menyumbang pelbagai bentuk barangan bagi memenuhi keperluan mereka yang kurang berkemampuan.

“Dalam usaha memperluaskan konsep pusat itu, PMINT bercadang untuk memperbanyakkan jenis barangan termasuk barangan keperluan harian pada masa akan datang,” ujarnya.

Pada masa ini pusat berkenaan menetapkan setiap orang hanya boleh mengambil tidak melebihi lima barang dalam satu masa dan diberikan kepada rakyat negara ini sahaja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini