KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya memansuhkan dua buah program di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) serta Biro Tatanegara (BTN) berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu setelah mendapati PLKN dan BTN telah disalahgunakan bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.
Katanya, kedua-dua program berkenaan akan digantikan dengan program baharu yang akan diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan memberi fokus dalam membentuk belia yang berwawasan.
“Di bawah BTN dan PLKN ada infrastruktur, aset dan penjawat awam sedia ada. Persoalannya apa akan jadi pada mereka?
“Justeru, KBS telah menghubungi pihak Khazanah Nasional untuk mengadakan perjumpaan dalam tempoh terdekat bagi mengadakan kolaborasi supaya modul baharu tersebut benar-benar memperkasakan anak muda,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini semalam.











