KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) dengan serta-merta, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata, keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu setelah mendapati PLKN dan BTN telah disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.
Menurutnya, kedua-dua program berkenaan akan digantikan dengan program baharu yang akan memberi fokus dalam membentuk belia yang berwawasan.
“Buat masa ini, semua pegawai dan aset PLKN dan BTN akan diletakkan di bawah jagaan Kementerian Belia dan Sukan sebelum program baharu itu diperkenalkan.
“Perjumpaan dengan semua pemegang taruh yang terlibat akan ditetapkan, kita akan turut berjumpa dengan pihak Khazanah (Nasional Berhad) supaya boleh dilakukan satu kolaborasi dalam merangka program ini, ” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini. – Bernama











