KUALA LUMPUR – Suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong sedikit panas malam ini selepas kedua-dua parti bertanding secara tidak sengaja mengadakan kempen ceramah masing-masing secara serentak di lokasi sama di Balakong dekat sini.
Selain calon, kedua-dua pihak juga menurunkan pemimpin ‘VIP’ dengan Pakatan Harapan (PH) antara lain membariskan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. S. Ganapathi Rao manakala MCA pula menurunkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Naib Presiden, Datin Chew Mei Fun.
Bagaimanapun, sambutan bagi kedua-dua ceramah yang diadakan secara terbuka berhampiran pasar malam Taman Megah dengan jarak antara kedua-duanya hanya kira-kira 100 meter agak mengecewakan dengan masing-masing dihadiri kira-kira 100 orang sahaja.
Calon PH, Wong Siew Ki dalam ceramahnya menegaskan hasrat calon lawannya daripada MCA, Tan Chee Teong untuk menjadi ejen semak dan imbang tidak bertepatan kerana empat parti dalam PH sudah cukup untuk melakukan ‘kerja’ itu.
“Kita ada empat parti (DAP-Bersatu-PKR-Amanah) dalam PH dan masing-masing boleh tegur jika ada yang tidak kena. Inilah semangat PH. Kalau ada salah, kita tidak akan tutup. – Bernama











