KUALA LUMPUR 17 Ogos – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan memilih kerusi Parlimen Pandan yang kini disandang isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan digesa mengambil alih jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pemilihan kerusi itu adalah lebih tepat, baik dan dapat mengelakkan amalan nepotisme.
Katanya, selain kerusi Parlimen Pandan, Anwar juga mempunyai pilihan untuk bertanding di kerusi yang disandang oleh anaknya, Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh.
“Di mana dia kena bertanding? sama ada di kerusi isteri dia atau kerusi anak dia? Kenapa hendak cari kerusi-kerusi lain?
“Janganlah amalkan politik nepotisme. Jadi, saya cadang sebaik baiknya Anwar bertanding di bandar, Wan Azizah boleh letak jawatan. Bila Anwar menang ahli Parlimen, terus dia jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar pengumuman penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, di sini hari ini.
Yang turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Khalid Yunus.
Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa Anwar akan bertanding di kawasan Parlimen Selayang, Batu dan terkini di Parlimen Sungai Petani.
Namun, Anwar dikatakan masih belum memutuskan mengenai perkara itu. UTUSAN ONLINE











