Pil kuda RM8.55 juta dirampas - Utusan Malaysia

Pil kuda RM8.55 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 27 Ogos – Seorang mak nyah berusia 30-an merupakan antara tujuh individu yang ditahan berhubung rampasan pil kuda bernilai RM8.55 juta di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Butterworth, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, tangkapan pertama membabitkan lima lelaki bersama 1,600 biji pil kuda jenis WY bernilai RM32,000 selepas polis menahan sebuah kereta di Jalan Bagan Luar kira-kira pukul 4.30 pagi 19 Ogos lalu

Menurut beliau, soal-siasat terhadap suspek telah membawa kepada serbuan di sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam dan sebanyak 72,000 pil kuda bernilai RM1.44 juta dirampas.

“Pada Jumaat lepas pula, kita menahan dua lagi lelaki di Bukit Mertajam serta menyerbu sebuah stor di Bandar Perai Jaya dan menjumpai 354,000 pil kuda jenis sama bernilai RM7.08 juta.

“Jumlah keseluruhan pil kuda yang dirampas ialah sebanyak 427,600 biji dan jika terlepas ke pasaran boleh digunakan lebih 400,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Ujar Thaiveegan, tiga lelaki yang ditahan mendakwa mereka adalah pelajar di sebuah kolej komuniti manakala tiga lagi mempunyai rekod jenayah.

Jelasnya, polis percaya dadah itu dibawa masuk dari negeri jiran dan siasatan kini tertumpu sama ada bekalan berkenaan adalah untuk pasaran tempatan atau negeri ini dijadikan transit sebelum dihantar ke tempat lain.

“Semua suspek bagi dua tangkapan pertama direman sehingga 31 Ogos manakala suspek bagi kes ketiga direman sehingga 2 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Thaiveegan menyifatkan dakwaan sesetengah pihak menerusi media sosial kononnya negeri ini menjadi lokasi panas mendapatkan bekalan dadah tidak berasas.

Tambahnya, sehingga bulan ini lebih RM50 juta dadah pelbagai jenis telah dirampas pihaknya menerusi pelbagai serbuan dan operasi yang dilakukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×