IPOH 13 Ogos – Kerajaan negeri Pakatan Harapan tidak pernah menetapkan tempoh 100 untuk melaksanakan manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, berlaku kekeliruan mengenai perkara tersebut apabila wakil rakyat pembangkang membangkitkan pencapaian kerajaan negeri dalam melaksanakan manifesto dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.
Menurutnya, sebaliknya manifesto Pakatan Harapan merupakan satu manifestasi yang menjadi landasan untuk membela dan mengembalikan hak-hak rakyat yang dirangka melalui lima teras utama iaitu Harapan Perak Kembali Gemilang.
Katanya, manifesto itu komprehensif dan meliputi setiap perkara yang penting bagi rakyat terbanyak terutamanya golongan yang memerlukan.
“Antara pencapaian manifesto yang telah dicapai termasuklah program pemberian air percuma untuk kumpulan sasar dengan meningkatkan kuantiti air percuma daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan serta meningkatkan bilangan kumpulan sasar yang layak daripada 11,000 keluarga sedia ada kepada 26,000 keluarga.
“Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan skim diskaun 10 peratus untuk 20 meter padu pertama bagi semua pengguna domestik di seluruh negeri dan ia memberi manfaat kepada 676,000 akaun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










