KUALA LUMPUR 14 Ogos – Seorang pesara polis maut manakala isterinya parah selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 16, Jalan Batang Kali – Ulu Yam, Hulu Selangor dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Mohd. Soueid A. Ghafar, 60, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Siti Zarina Osman, 51, patah di bahagian tulang rusuk.
“Ketika kejadian, mangsa yang merupakan bekas anggota polis berpangkat Koperal menunggang motosikal bersama isterinya dari arah Batang Kali ke Ulu Yam, dekat sini.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah bertentangan tiba-tiba membelok di simpang menghala ke arah Tamu Hill mengakibatkan mangsa merempuh kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Bak Phai, pemandu SUV tersebut dibawa ke Hospital Selayang bagi menjalani ujian darah dan akan ditahan untuk disiasat mengikut mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










