FAKTOR sosio-politik-ekonomi-budaya Malaysia menuntut kesabaran dan persefahaman yang tinggi supaya perbezaan disantuni, jurang ekonomi dirapatkan, perlembagaan dihormati manakala toleransi menjadi pedoman supaya persefahaman dapat ditingkatkan, keamanan dapat dipelihara dan kerjasama dapat dikekalkan.
Asas-asas dalam Perlembagaan seperti Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan menuntut pelaksanaan, Perkara 152 bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi perlu dimartabatkan, Perkara 153 hak istimewa orang Melayu dan bumiputera hendaklah dipenuhi. Ia adalah muafakat sosial yang amat bermakna supaya Tanah Melayu dan kini Malaysia dapat dibina dengan jiwa kenegaraan yang tinggi dalam kalangan warganya yang majmuk.
Kini peruntukan itu secara terbuka dijadikan bahan provokasi langsung dan tidak langsung tanpa mempedulikan sensitiviti orang Melayu. Bercakap mengenai Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa sebagai rasis. Provokasi ini semacam ingin mengundang konflik dan menjadikan Malaysia tidak stabil dan aman.
Agama Islam amat penting bagi membentuk watak penganutnya supaya prihatin menyantuni perbezaan seperti yang dipedoman oleh al-Quran Laqum deenukum walya deen – Kamu agama kamu dan kami agama kami. Agama-agama lain bebas diamalkan dalam kalangan penganutnya.
Kalau orang Kristian mengamalkan nilai-nilai interaktif dalam agamanya ia menjadikan orang Kristian memahami keperluan manusiawi dalam kalangan masyarakat berbeza. Begitu juga penganut Hindu yang menghayati nilai interaktif agamanya asas toleransi boleh menjadi pedoman.
Hal yang sama terhadap penganut agama Buddha asas falsafahnya banyak menampilkan nilai-nilai interaktif yang membantu hubungan sosial sesama manusia. Lebih-lebih lagi penganut falsafah Kung Fu Zi banyak sentuhan nilai-nilai bersama yang boleh dikongsi untuk mengukuhkan toleransi.
Islam juga amat terbuka untuk menerima perbezaan. Ratusan tahun orang golongan peranakan menyantuni orang Melayu di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura suatu ketika dulu hidup dengan persefahaman yang tinggi dan aman damai sehingga berlaku proses asimilasi yang menarik untuk dikaji.
Satu hal yang elok dikongsi adalah orang Melayu yang beragama Islam tidak memaksa orang Cina, India dan Portugis peranakan memeluk agama Islam kerana al-Quran mendidik pemeluk Islam dengan pendirian La iqra hafidden – Tiada paksaan dalam beragama. Walaupun asimilasi ditolak oleh setengah pihak pada hari ini tetapi toleransi perlu ada bukannya provokasi secara tersurat dan tersirat yang boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan orang Melayu.
Begitu juga dalam isu bahasa Melayu adalah bahasa yang diucapkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia. Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi dalam hubungan antara bangsa-bangsa bakal membina jalan perpaduan.
Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang wajar supaya bahasa ibunda menjadi bahasa utama melonjakkan generasi Malaysia yang mempunyai ilmu dan kemahiran, jati diri dan sayangkan Malaysia supaya rasa kebersamaan, kekitaan, muafakat dan kesayangan kepada negara lahir.
Apa lagi memperuntukkan hak istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera adalah suatu pendekatan bijak merapatkan jurang perbezaan yang terdapat supaya tidak timbul rasa iri hati dan cemburu yang tidak terkawal sehingga melahirkan konflik.
Dasar Ekonomi Baharu yang berjalan pada masa lalu umpamanya tidak saja cuba melonjakkan pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan taraf hidup, orang Cina terus menikmati faedah daripadanya dan mengekalkan ekuiti atau pegangan melebihi 60 peratus.
Orang Melayu setelah dijajah lebih 400 tahun sudah tentu tidak mudah untuk membangunkannya semula. Ia menuntut pengertian, persefahaman dan kebijaksanaan dalam kalangan orang bukan Melayu supaya orang Melayu diperkasa.
Adalah menjadi pendirian penulis supaya orang Melayu mempunyai sifat mandiri yang kuat, daya saing yang tinggi, produktif dan kreatif dalam keusahawanan supaya ekuiti ekonomi bertambah dan jurang perbezaan dirapatkan.
Penulis menginsafi dengan terbinanya bandar-bandar baharu, sistem perumahan berharga mahal, universiti swasta yang tidak mampu disertai oleh pelajar-pelajar Melayu, ekuiti orang Melayu akan semakin menirus dan perkembangan demografik (taburan penduduk) dalam kalangan orang bukan Melayu bakal memberikan kesan politik dan kuasa masa depan.
Bayangkan sekiranya kedudukan orang Melayu semakin terpinggir walaupun mereka ini majoriti di Malaysia di tengah-tengah sistem meritokrasi yang dicadangkan berjalan atas nama sama rata sama rasa tanpa melihat faktor sosio-ekonomi dan jurang ekuiti yang masih dalam persefahaman dalam kalangan warga Malaysia mungkin berdepan dengan masalah.
Ini ditambah dengan provokasi isu siapa pendatang awal, isu Islam yang disalah fahami, isu bahasa dan sistem pendidikan diungkit-ungkit, tuntutan ke arah kehidupan liberal dan sekular tumbuh macam cendawan, ada kemungkinan sesama orang Melayu tambah berpecah dan hubungan Melayu dan bukan Melayu berada dalam iklim tidak percaya antara satu sama lain dan ianya boleh menghasilkan konflik. Minta dijauhkan Tuhan.
Konflik ini yang harus dielakkan supaya wujud persefahaman dengan toleransi tinggi supaya setiap warga merasakan ada peranan untuk membangunkan Malaysia yang maju, kebebasan yang dikawal oleh disiplin diri.
Tanpa disiplin diri bakal wujud kecenderungan untuk melakukan penguasaan atau hegemoni terhadap orang lain kerana kekuatan kuasa beli boleh membeli apa saja hatta kuasa politik.











