KUALA LUMPUR 24 Ogos – Ketua-ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu melipat gandakan usaha menambah bilangan ahli di seluruh negara.
![]() |
|
TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
|
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi mengukuhkan peranan parti kerana parti tersebut gagal memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Saya tiada amanat kepada mereka hari ini tapi saya minta supaya mereka berusaha menambah bilangan ahli. Ini yang penting sebab kita tak menang besar kerana berlaku kekeliruan pada pilihan raya lalu.
“Orang tak tahu dari Bersatu atau bukan, semasa kita mengadakan rapat umum, ramai yang datang tapi keputusan sangat teruk sebab mereka tak tahu siapa dia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi townhall yang julung kali diadakan bersama 130 ketua bahagian Bersatu, di sebuah hotel di sini hari ini.
Jelas Dr. Mahathir, sesi townhall yang diadakan selama dua jam itu membolehkan beliau mendengar pendapat dan soalan daripada ketua-ketua bahagian.
“Kita tak pernah jumpa, kita sepatutnya kerap jumpa ketua-ketua bahagian kerana mereka memainkan peranan penting dalam membesarkan lagi parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE












