KUALA LUMPUR 24 Ogos – Perjuangan Pas yang sentiasa memartabatkan kesucian Islam dengan menyeru ke arah kebaikan disifatkan sebagai sangat berkesan apabila mula menjadi ‘ikutan’ pihak lain.
![]() |
|
HALIMAH ALI
|
Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali berkata, pegangannya dalam parti itu bukanlah berdasarkan politik semata-mata, namun lebih kepada berdakwah ‘menjemput’ orang ramai ke arah kebaikan.
Sehubungan itu, menurut Halimah, sekiranya ada pihak lain termasuk lawannya dari Pakatan Harapan (PH) yang ingin mengangkat isu melibatkan agama, perkara tersebut jelas membuktikan perjuangan Pas selama ini tidak sia-sia.
“Walaupun begitu, apa yang diperkatakan mereka termasuk pemberian pelbagai bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) seperti yang digembar-gemburkan PH hanyalah penerusan kepada dasar Pakatan Rakyat pada tahun 2008 di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika itu, di mana saya memegang portfolio Exco Pendidikan.
“Saya juga yang mencetuskan idea untuk mewujudkan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) dengan sasarannya satu MITS di setiap daerah. Jadi, itu yang saya dah mulakan dan hanya diteruskan sahaja. Tiada perkara baharu pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan rakyat di Masjid Nurul Yaqin, Kelana Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan lawannya bagi merebut kerusi DUN Seri Setia iaitu Halimey Abu Bakar yang mengatakan PH akan tetap memperjuangkan isu mengenai Islam dan turut mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak mendabik dada apabila berbicara soal agama. – UTUSAN ONLINE












