WASHINGTON 26 Ogos – Pakar kesihatan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai sejenis penyakit parasit yang disebarkan melalui serangga dikenali sebagai ‘kissing bug’ dengan lebih 300,000 penduduk di negara ini disahkan telah dijangkiti penyakit tersebut.
Lapor portal berita RT, penyakit Chagas yang selalunya ditemukan di bahagian tengah dan selatan benua Amerika, menjangkiti sekurang-kurangnya lapan juta orang, kini merebak ke AS di 27 buah negeri.
Selain AS, Chagas turut merebak ke Sepanyol, Itali, Perancis, Switzerland, United Kingdom, Australia dan Jepun.
Menurut Pertubuhan Jantung Amerika (AHA), para doktor diingatkan supaya mengenali Chagas dengan lebih mendalam sebelum wabak yang dahsyat itu merebak secara meluas.
“Pengesanan awal penyakit Chagas adalah kritikal, menyebabkan pesakit menjalani rawatan terapi segera selepas dibuktikan dijangkiti kerana memulihkannya amat sukar,” tulis Caryn Bern, Profesor Epidemiologi dan Biostatistik di University of California di San Francisco.
Jelasnya, doktor dapat mengesan penyakit itu melalui ujian darah dan sekiranya dikesan lebih awal, pesakit dapat dirawat dengan segera.
“Jika tidak dirawat, jangkitan adalah sepanjang hayat dan boleh mengancam nyawa,” katanya.
Penyakit Chagas disebabkan oleh parasit yang disebarkan oleh serangga yang menghisap darah yang dipanggil triatomine, juga dikenali sebagai ‘kissing bug’, kerana cenderung menggigit wajah manusia sekitar mulut dan boleh menyebabkan strok dan kegagalan jantung.
Kira-kira 30 peratus yang dijangkiti Chagas mendapat komplikasi mengancam nyawa seperti penyakit jantung kronik.
Serangga itu kemudian menyebarkan parasit yang dikenali sebagai trypanosoma cruzi dengan mengeluarkan najis pada gigitan dan kemudiannya dipindahkan ke luka terbuka atau mata serta mulut.
Penyakit ini dilabel sebagai pembunuh senyap dengan tanda-tanda termasuk demam, letih, sakit, ruam dan kelenjar bengkak.











