KUALA LUMPUR 12 Ogos – Mengubah fungsi bangunan seperti daripada pejabat kepada pusat hiburan dan meletakkan barang terpakai di laluan koridor atau tangga kecemasan serta gagal melakukan penyelenggaraan berkala.
Itu antara senario yang menyebabkan premis-premis kecil gagal mendapatkan perakuan menduduki di bawah Seksyen 8, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Lebih membahayakan antara kesalahan lain turut meliputi masalah sistem pemasangan keselamatan kebakaran diubah daripada kedudukan asal selain kebanyakannya tidak berfungsi dan rosak.
Perkara itu turut diakui oleh pegawai bomba yang melakukan operasi menyelamat di beberapa premis terlibat malah keadaan itu menyebabkan tugasan mereka tergendala dan sukar dilaksanakan.
Ini kerana, setiap alat keselamatan kebakaran seperti hos dan alat pemadam api sepatutnya diletakkan di lokasi yang mudah diperoleh anggota penyelamat mengikut pelan kecemasan ditetapkan namun ia dipindahkan ke lokasi lain atau disembunyikan.
Tinjauan Utusan Malaysia di rumah kediaman seperti pangsapuri dan kondominium mendapati, pemilik premis juga bersikap sambil lewa apabila membiarkan laluan kecemasan bangunan miliknya dikunci serta dihalang dengan pelbagai barangan terpakai oleh penghuni lebih daripada satu tahun.
Selain keadaan itu, terdapat juga sistem pancuran air yang rosak dan alat pemadam api kosong berikutan penyelenggaraan tidak dilakukan secara berkala seperti yang diarahkan JBPM.
Manakala kebanyakan pemilik premis seperti kedai dua tingkat pula membiarkan stok barangan diletakkan di tangga.
Dalam pada itu, ada juga pemilik kedai yang bersikap degil dengan mengalihkan barangan tersebut ke tempat lain ketika pemeriksaan dilakukan dan kembali meletakkannya semula selepas operasi penguatkuasaan selesai.











