KUALA LUMPUR 15 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang penolong jurutera awam sebuah Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak kerana disyaki terlibat salah guna kuasa pada dua tahun lalu bernilai lebih RM40,000.
Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.50 petang di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, individu tersebut dipercayai menyalahgunakan kuasanya dengan memohon syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya bagi melakukan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan sistem perairan luar bandar di sekitar Bau, Lundu dan Sematan sepanjang 2016.
“Kesemua pembayaran bagi enam kerja telah dibuat ke akaun syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Khas Rasuah Kuching, esok.
Tambahnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – UTUSAN ONLINE











