Penjenamaan semula persatuan belia - Utusan Malaysia

Penjenamaan semula persatuan belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN untuk merombak dan melaksanakan pembaharuan yang komprehensif terhadap persatuan belia wajar disambut baik oleh semua pihak khususnya golongan belia. Dalam konteks ini, isu gelaran ‘macai politik’ yang dibangkitkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu dipolemikkan sebaliknya wajar dijadikan iktibar dan membuka mata semua pihak terutamanya komuniti persatuan belia itu sendiri.

Tambahan pula Syed Saddiq dengan segera menjelaskan kepada siapa gelaran itu ditujukannya. Jadi dalam konteks yang lebih positif dan demi kesinambungan masa depan persatuan belia di negara ini, sudah tiba masanya semua persatuan belia yang ada dijenamakan semula dan diberi nafas baharu supaya mampu bertahan dan meneruskan agenda masing-masing secara jujur dan ikhlas tanpa sebarang konflik mahupun kepen­tingan.

Hakikatnya, kita percaya setiap persatuan belia yang ditubuhkan mempunyai matlamat dan hala tuju perjuangan. Cuma yang menjadi masalah ada yang mungkin tersasar daripada matlamat asal dan tidak kurang juga yang terlalu menjurus ke arah perjuangan politik sehingga menjejaskan reputasi dan imej persatuan itu sendiri dan ini biasanya berlaku apabila pemimpin persatuan tersebut mula mengambil kesempatan dan me­nyalahgunakan platform persatuan untuk tujuan atau agenda peribadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akhirnya persatuan seperti ini terus dilabelkan sebagai alat sesebuah parti politik. Tetapi dalam masa sama kita tetap tidak boleh menafikan sumbangan dan peranan beberapa persatuan belia yang sememangnya memperjuangkan pelbagai isu membabitkan kepentingan dan masa depan belia dengan jujur dan ikhlas.

Antara penjenamaan semula yang wajar dilaksanakan seperti dicadangkan oleh Syed Saddiq adalah melaksanakan proses neutralisasi iaitu tidak membenarkan persatuan belia diterajui oleh mana-mana pemimpin parti politik, tidak kira daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang. Cadangan ini wajar disokong penuh oleh semua pihak. Biarlah organisasi belia ini bebas daripada pengaruh politik, tidak menjadi agen mana-mana parti politik sehingga terpaksa membelakangkan segala matlamat dan hala tuju asal penubuhannya.

Ini kerana kita percaya kepimpinan persatuan belia dalam kalangan orang bukan politik akan lebih berani, ikhlas, jujur dan mudah memperjuangkan matlamat persatuan masing-masing. Mereka tidak perlu risau dan takut, tunduk mahupun akur kepada mana-mana parti politik dalam memperjuangkan hak belia. Maka kejujuran dan keikhlasan akan menjadi asas perjuangan semua pihak kelak.

Matlamat dan hala tuju persatuan belia juga wajar diberi nafas baharu. Bilangan persatuan belia di negara ini kini boleh dikatakan cukup banyak yang mana ada yang sudah bertapak cukup lama dan ada yang masih baharu dan mentah. Masing-masing ditubuhkan atas pelbagai justifikasi dan keperluan semasa. Jadi sudah tiba masa­nya untuk pihak kementerian memanggil semua persatuan belia yang ada untuk membincangkan nasib dan hala tuju masing-masing.

Kita tidak mahu ada matlamatnya sama dan bertindih, ada yang semakin lesu umpama hidup segan mati tidak mahu atau sudah pun menjadi kubur tidak bernisan dan ada pula yang syok sendiri. Biar bilangannya sedikit tetapi cukup berkualiti dan memenuhi keperluan belia di negara ini. Ini bukan bermaksud menafikan hak berpersatuan atau mahu membubarkan persatuan sedia ada tetapi wajar dipertimbangkan kemungkinan untuk menggabungkan beberapa persatuan yang mempu­nyai latar belakang, matlamat dan hala tuju yang hampir sama supaya dapat memantapkan dan memperkasakan lagi kedudukan, masa depan dan perjuangan persatuan tersebut.

Persatuan belia juga perlu tampil dengan lebih gah untuk memperjuangkan hak dan keperluan belia di negara ini. Sepatutnya persatuan belia menjadi platform utama setiap belia untuk mengetengahkan segala masalah, cadangan, pandangan dan maklum balas kepada pihak berkepentingan. Memegang kepada prinsip berani kerana benar dan sebagai pewaris masa hadapan negara ini, persatuan belia wajib memperjuangkan keperluan belia seperti peluang pekerjaan, pemilikan perumahan, kenaikan kos sara hidup dan keperluan kehidupan yang lain demi menjamin masa depan yang lebih baik.

Itu belum lagi harapan untuk melihat persatuan belia memperjuangkan masalah rakyat yang pelbagai. Tetapi malangnya, perkara ini tidak begitu berlaku, hanya segelintir persatuan yang berani memperjuangkan isu-isu peringkat nasional seperti ini, selebihnya masih umpama katak di bawah tempurung dengan terlalu fokus kepada isu remeh temeh membabitkan masalah dalaman persatuan itu sendiri.

Malah kita mengharapkan peranan yang lebih besar daripada persatuan belia iaitu menegur pihak kerajaan dan orang politik.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN