PUTRAJAYA 28 Ogos – Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Setiausaha Negara hari ini berharap seluruh warga penjawat awam untuk sentiasa menjalankan tugas dengan penuh dedikasi kepada kerajaan semasa.
Ujar beliau, warga penjawat awam perlu meneruskan khidmat berlandaskan prinsip kesetiaan kepada raja dan negara.
“Dedikasi dan integriti perkhidmatan awam adalah penting. Kami sentiasa menjalankan amanah sebaiknya dalam mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat.
“Ini dibuktikan melalui beberapa siri tindakan yang telah diambil sebelum ini terhadap usaha-usaha untuk menjejaskan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan berkenaan, Ali yang menamatkan perkhidmatannya selama enam tahun itu juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr. Ismail Bakar atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang ke-14.
“Saya berharap agar beliau dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dan meneruskan rekod cemerlang Pejabat Ketua Setiausaha Negara,” katanya.
Selain itu, Ali juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh anggota Kabinet yang berganding bahu dalam meletakkan institut pentadbiran negara ke tahap lebih tinggi.
“Saya juga ingin memanjangkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin serta seluruh anggotanya atas nasihat dan pandangan yang diberikan dalam memastikan tadbir urus kerajaan di landasan terbaik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











