KUALA LUMPUR 16 Ogos – SIKAP pengotor warga asing yang menjadikan bahagian belakang kediaman mereka sebagai tempat membuang sampah menyebabkan kawasan itu tidak ubah seperti tempat pelupusan sampah.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota iaitu di Jalan Kundur dan Jalan Batu 3 1/2 baru-baru ini mendapati lorong-lorong belakang premis perniagaan dipenuhi sampah sarap sehingga menyusahkan orang ramai menggunakan laluan berkenaan.
Lebih memburukkan keadaan apabila timbunan sampah seperti sisa makanan, lampin, perabot dan pakaian buruk yang berselerak di sepanjang lorong itu menjadi sarang pembiakan tikus, serangga dan burung gagak yang boleh menyebabkan penularan pelbagai jenis penyakit.
Masalah yang berpunca daripada ‘sampah terbang’ itu menjadi semakin menjijikkan ketika hari hujan.
Walaupun kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti biasa, masalah itu tetap berlaku kerana sikap warga asing yang menjadikan kawasan kediaman mereka seperti negara sendiri.
Penduduk mendakwa, walaupun tabiat buruk itu sudah banyak kali ditegur dan dilaporkan kepada pihak berkuasa, sikap warga asing di situ tidak pernah berubah.
Justeru, orang ramai mahu pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih tegas untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.
Sementara itu, tinjauan di lorong rumah kedai di Jalan Semilang, Taman Tenaga yang sebelum ini mengalami masalah yang sama kini bersih selepas pembersihan oleh kakitangan Alam Flora dan kunjungan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa operasi ‘Sampah Terbang’ pada minggu lalu.
Perubahan sikap itu merupakan bukti kejayaan kempen kesedaran yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap golongan warga asing yang selama ini langsung tidak peduli terhadap kepentingan menjaga kebersihan di kawasan kediaman.











