Pengiktirafan GLA rangsangan baharu warga EPIC - Utusan Malaysia

Pengiktirafan GLA rangsangan baharu warga EPIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 20 Ogos – Satu lagi cerita kejayaan anak negeri, dan tentunya akan menjadi satu lagi rentetan sejarah dicatatkan dengan pengiktirafan yang diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor dalam bidang yang diceburinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peneraju syarikat berkaitan kerajaan negeri itu yang merupakan individu pertama dalam industri di negeri ini menerima anugerah berimpak tinggi dan berprestij di rantau ini dalam majlis Global Leadership Award 2018 (GLA) Kali Ke-8 kategori Kecemerlangan Kepemimpinan Industri Minyak dan Gas baru-baru ini.

GLA anjuran The Leaders International Magazines dan American Leadership Development Association (ALDA) bertujuan memberikan pengiktirafan kepada individu yang memiliki kepimpinan melalui kecemerlangan organisasi yang dibangunkan.

Anugerah dinilai oleh panel hakim antarabangsa terutamanya dari aspek dedikasi yang tinggi ditunjukkan oleh penerima dalam menerajui bidang korporat dan komuniti bagi tempoh 2016 dan 2017.

Ini antara lain bersandarkan usaha yang berterusan dan konsisten untuk meningkatkan kualiti perniagaan ke tahap yang lebih tinggi dengan menyesuaikan diri dan juga syarikat mengikut arus perkembangan ekonomi ketika ini.

Noor Fadzil yang dilihat berupaya melakar perubahan signifikan seiring dengan perubahan landskap ekonomi menyifatkan ia sebagai kejayaan bersama seluruh warga EPIC, syarikat yang menjadi sandaran kepada penglibatan ne­geri dan anak negeri dalam industri berasaskan sumber alam itu.

“Saya bersyukur dan terharu kerana diberikan pengiktirafan, dan semoga ini dapat menjadi suatu lagi rangsangan bagi seluruh warga kerja untuk membantu membangunkan ekonomi negeri bagi memenuhi harapan kerajaan dan rakyat.

“Dengan itu pulangannya akan dapat dikecapi lebih meluas kepada rakyat melalui pelbagai saluran bagi memikul tanggungjawab sosial.

“Saya percaya dengan komitmen seluruh warga kerja kita akan terus berjaya menangani lebih banyak cabaran dan merebut lebih banyak peluang pada masa depan,” ujarnya.

EPIC, selaku penyediaan pelbagai perkhidmatan sokongan dalam industri berkaitan telah memperoleh satu lagi kontrak utama daripada syarikat pengeluar minyak dan gas terkemuka untuk menjalankan penyelenggaraan struktur atas pelantar minyak di luar pesisir pantai Terengganu.

“Projek mega dianggarkan bernilai RM500 juta ini yang digerakkan oleh anak syarikat, EPIC OG Sdn. Bhd. bermula tahun ini sehingga 2023.

“Melalui projek yang diperoleh ini akan menambahkan kepelbagaian aktiviti kepada sumber pendapatan syarikat di samping membuka ruang pekerjaan kepada 500 orang,” ujarnya.

Sebelum ini, EPIC telah melebarkan sayapnya dengan meneroka industri solar melalui pembinaan janakuasa berkapasiti 18.5 megawatt di Telok Kalong Kemaman dengan pelaburan lebih RM80 juta yang dijangka memberikan keuntungan RM13 juta setahun.

“Ini dapat memberi impak yang positif kepada sosio ekonomi dengan membuka banyak ruang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat khasnya dan menyokong kepada pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN