IPOH 15 Ogos – Seorang pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di Seri Iskandar, minggu lalu.
Ros Azlina Mohd. Ismail, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Persiaran Iskandar Perdana 9, Seksyen 2 di Seri Iskandar pada pukul 11.30 pagi, Rabu lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Julie Lack menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 18 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN ONLINE











