SAYA ingin mengupas isu perjuangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini mengikut konteks semasa dan pengalaman peribadi dengan beberapa kenalan dan rakan sekerja yang mengamalkan gaya hidup itu.
Pertama sekali, golongan LGBT sudah lama wujud di bumi Malaysia mungkin sejak awal zaman kemerdekaan sejajar era liberal di Barat yang dibawa masuk melalui industri hiburan khususnya paparan filem wayang dan televisyen.
Keghairahan anak muda dalam mana-mana generasi mencuba sesuatu yang baharu bukan sahaja mendedahkan mereka kepada zina, arak, dadah, rokok dan bermacam gejala sosial lain, malah membuka pintu untuk mereka mencuba cinta sejenis seterusnya mempersoalkan orientasi seksual diri yang membawa kepada permulaan transeksual.
Melihat situasi semasa, peralihan kuasa kerajaan peringkat pusat dan kebanyakan negeri digunakan pejuang LGBT untuk cuba menaikkan status mereka kepada gaya hidup yang ‘dihalalkan’ sama ada daripada sudut agama, budaya mahupun perundangan.
Kumpulan LGBT ini bukannya tiba-tiba muncul dalam satu jumlah besar, sebaliknya sudah lama berkembang secara senyap malah dalam sesetengah industri seperti dunia hiburan.
Ibu bapa mana tidak sedih bila mengetahui anak mereka mengikut gaya hidup LGBT malah ada yang sanggup menerimanya daripada kehilangan anak yang ditatang bagai minyak penuh sejak kecil. Membelakangkan ketetapan agama dan penerimaan masyarakat demi anak tercinta.
Begitu juga adik-beradik, rakan dan saudara-mara yang rapat ‘terpaksa’ menerima pilihan gaya hidup LGBT individu tersebut demi menjaga keharmonian perhubungan.
Dalam satu sudut, hidup sebagai seorang lesbian, gay atau biseksual lebih mudah diterima kerana tiada perubahan fizikal atau boleh dilihat mata kasar masyarakat, cuma aktiviti bilik tidur dilakukan secara tertutup.
Yang menjadi pergolakan utama adalah jenis transgender iaitu lelaki berpakaian perempuan dan perempuan berpakaian lelaki, menimbulkan rasa keliru, geram dan marah golongan agama dan konservatif.
Saya sendiri mempunyai seorang rakan kerja lesbian yang tinggal ‘bersekedudukan’ dengan seorang lagi wanita lesbian dan hubungan mereka menjadi open secret di pejabat.
Rata-rata rakan kerja mahupun bos sendiri tidak mencampuri perihal bilik tidur wanita LGBT itu asalkan tidak menjejaskan kerja mahupun imej syarikat. Hubungan dengan rakan sekerja juga baik sahaja tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapun, penerimaan terhadap golongan transgender jauh berbeza kerana rata-rata pekerja di syarikat kami tidak dapat menerima jika gaya hidup songsang itu sehingga menukar jantina asal seorang pengamal LGBT.
Dalam perbualan harian kami, boleh dikatakan semua kakitangan syarikat boleh bertolak ansur dengan kehadiran lesbian, gay atau biseksual kerana masih mempunyai harapan untuk kembali ke pangkal jalan.
Namun, transgender dilihat sudah ‘menutup pintu taubat’ khususnya jika sudah menjalani pembedahan menukar jantina malah patut dijauhi bagi mengelak dilaknat Tuhan mahupun terpalit cacian masyarakat.
Dari sudut agama dan budaya sudah jelas di mana kedudukan LGBT, seperti mana penjenayah dan mereka yang melakukan dosa-dosa besar tetapi dalam diam, masyarakat Malaysia sebenarnya sudah ‘lali’ dengan kehadiran golongan ini dan semakin hari semakin ramai menerimanya sebagai ‘norma hidup’.
Buat masa ini, sebarang tuntutan untuk ‘menghalalkan’ gaya hidup songsang ini pasti ditolak kerana umumnya rakyat Malaysia tidak mahu anak-anak mereka terpengaruh dan menyertai komuniti LGBT khususnya jenis transgender.
Oleh itu, saya sarankan jangan dipaksa penerimaan LGBT di negara ini kerana dikhuatiri tindak balas umum boleh menjejaskan kehadiran mereka dalam kehidupan harian dan di tempat kerja, terutama sekali untuk jenis lesbian, gay atau biseksual.
SITI AMINAH HASHIM
Petaling Jaya











