GUNUNG Tungku di Ulu Cheka, Jerantut, Pahang agak jarang didaki. Justeru, Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) mencari kelainan untuk mengeksplorasi gunung tersebut baru-baru ini.
Sebanyak sembilan pendaki menyahut cabaran yang diketuai oleh Rosmawati Hamzah. Dari Kuala Lumpur, kami memandu ke Kampung Perluk. Halaman rumah makcik Nafsiah dijadikan tempat parkir.
Muhammad Afandi Mat Lias bertindak sebagai pemandu arah. Selesai berdoa, kami memulakan pendakian dengan menempuh kebun penduduk sehingga ke pintu rimba.
Perjalanan awal menyajikan trek mendaki sekitar 20 hingga 30 darjah tahap kecuraman. Namun, apabila tiba di tebing batu pokok keladi, batuan setinggi tiga meter dengan kecuraman hampir 80 peratus menanti pendaki.
Rekahan batu dan akar digunakan untuk berpaut. Setibanya di puncak batu, pokok keladi gergasi menggamit kami untuk bergambar. Kami meneruskan pendakian sehingga tiba di sumber air terakhir. Terdapat aliran kecil yang mencukupi untuk menyediakan bekalan air ke puncak.
Dua jam berikutnya, kami menempuh teres balak. Rentak langkah kami silih berganti antara laluan rata dan laluan ‘mencungap’. Cabaran seterusnya adalah mendaki tebing teres yang hampir tegak. Tali disediakan bagi memudahkan pendaki melepasi tebing yang berketinggian kira-kira dua meter.
Pendakian semakin mencabar dengan trek semakin tegak. Memandangkan trek masih baharu, maka tidak banyak tapak bertangga yang ada. Begitu juga, tiada akar yang boleh dijadikan tempat berpaut.
Keadaan tanah pula agak peroi, tidak padat dan terdapat banyak batuan rapuh. Di beberapa tempat, teknik 4WD iaitu merangkak terpaksa digunakan. Tangan dan lutut saling bekerjasama bagi menolak badan ke hadapan.
Di hujung trek ini, kami berehat sambil melayan pemandangan sekeliling. Tiba-tiba kami terdengar bunyi sesuatu di lereng sebelah. Parang dihunus bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Setelah dipantau oleh Muhammad Afandi, keadaan kembali normal. Setelah merasakan selamat, pendakian diteruskan.
Dalam tempoh dua jam berikutnya, pendakian memasuki kawasan ‘jari’ gunung. Ia antara laluan terperit. Trek pacak berterusan pada darjah kecuraman 40 hingga 60 darjah. Tidak banyak kawasan rata untuk melepaskan lelah.
Ditambah lagi dengan struktur tanah yang tidak stabil. Ada yang berjalan perlahan kerana tidak mahu berlaku kemalangan. Tidak lama selepas itu, Muhammad Afandi berpatah balik. Beliau membantu pendaki di belakang dengan membawakan beg mereka.
Sikap inilah yang kita cari! Pendakian diteruskan sehingga tiba di satu simpang. Kelihatan rakan pendaki lain sedang mengelilingi unggun api yang dinyalakan bagi menghalau langau, lebah dan agas. Kehadiran serangga itu merimaskan mereka yang sudah menunggu lebih 30 minit. Setelah cukup berehat, pendakian memasuki fasa berikutnya.
Ketika ini, pendakian ke puncak dijangka mengambil masa setengah jam. Tahap kecuraman sekitar 30 hingga 50 darjah. Disebabkan ‘latihan’ awal tadi, maka tiada masalah untuk meneruskan pendakian.
Setibanya di puncak yang berketinggian 928 meter, kami disambut oleh Gahazali Satri (Pak Teh). Pada malamnya, kami dihidangkan dengan menu daging salai masak lemak cili api, hasil air tangan Khairinah Chumari. Selepas makan, kami berkongsi idea dan cerita.
Keesokannya, perjalanan turun lancar. Selepas satu jam berjalan, trek kembali mencabar. Kami dihadapkan dengan cerun 50 hingga 70 darjah, diselang seli dengan batu longgar dan tidak berakar. Tidak lama kemudian, kami memasuki kawasan lurah air.
Kesukaran sedikit terasa kerana tidak mudah untuk menyeimbangkan badan sambil memikul beg galas 60 liter. Namun, ia tidak mematahkan semangat. Kami akhirnya berjumpa dengan sumber air yang ‘cantik’. Seperti biasa, ada yang sempat membasahkan badan di air terjun kecil itu.
Untuk 1 jam 30 minit seterusnya, trek curam kembali normal, sekali gus menandakan kami hampir tiba ke kaki gunung. Akhirnya, pintu rimba mula kelihatan.
Setelah semua pendaki berkumpul, kami berjalan sekitar 30 minit lagi untuk sampai ke tempat parkir. Di situ, longgokan buah durian pemberian tuan rumah menanti kami. Menikmati durian kampung sambil duduk bersila memang mengasyikkan.
Sebelum balik, kami mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah yang melayan kami dengan baik. Semoga Yang Maha Kuasa membalas jasa beliau sekeluarga, dengan sebaik-baik balasan. Amin.











