KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pemimpin PKR dan ahli Parlimen perlu mengelak daripada memberi sebarang kenyataan negatif kepada kerajaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan imej serta kestabilan ekonomi negara.
![]() |
|
MOHAMAD EZAM
|
Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, kritikan terhadap kerajaan adalah lumrah namun tidak seharusnya dilakukan secara terbuka tanpa sebarang bukti.
“Kenyataan membabitkan Tun Daim Zainuddin tentunya boleh memberi kesan kepada negara kerana beliau adalah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kenyataan negatif secara semborono terhadap tokoh dalam Majlis Penasihat Kerajaan juga boleh memberi kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh ahli Parlimen kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohamad Ezam berkata, senario tersebut dilihat menjadi semakin serius berikutan terdapat kenyataan yang menyentuh tentang komplot yang membabitkan jawatan Perdana Menteri.
Katanya, keghairahan berkempen untuk jawatan parti tidak boleh dijadikan lesen untuk melakukan perkara-perkara yang mampu menggugat kestabilan kerajaan dan negara.
“Saya berharap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas dalam memperbetulkan keadaan ini. Beliau pernah menjadi orang nombor dua negara dan sudah tentu faham mengenai kestabilan ekonomi serta negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE












