Pemandu lori didakwa salah guna kad diesel milik syarikat - Utusan Malaysia

Pemandu lori didakwa salah guna kad diesel milik syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang bekas pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menyalahgunakan kad diesel milik syarikat logistik tempatnya bekerja di Nilai dekat sini, tahun lalu.

Tertuduh, Zahari Mamat, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan  dibacakan secara berasingan ke atasnya di hadapan Hakim G.Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan pecah amanah dengan curang menggunakan kad diesel Petronas milik Asiagroup untuk mengisi bahan api tersebut antara RM200 hingga RM500 setiap transaksi berjumlah RM6,500.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu dilakukan di stesen minyak Petronas Jalan Semarak di Nilai antara 2 Julai hingga 7 Ogos 2017.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Harun mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. 

Pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM45,000 bagi kesemua pertuduhan, manakala tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Sivam Mariappan merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak-anak tertuduh masih bersekolah dan masih kecil. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM34,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes. 

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di Balai Polis Nilai pada Ahad minggu pertama setiap bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini