BALIK PULAU – Polis menahan seorang pemandu limusin Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kerana menumbuk seorang pemandu pelancong dalam kejadian di hadapan pintu ketibaan lapangan terbang itu semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Sungai Burung, di sini kira-kira pukul 5 petang ini berikutan laporan polis yang dibuat mangsa semalam.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, mangsa berusia 62 tahun itu berada di hadapan pintu ketibaan LTAPP untuk menunggu pelanggannya sebelum pemandu limusin berkenaan memarahi serta mengarahkannya keluar dari kawasan lapangan terbang berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu memaklumkan kepada pemandu limusin berkenaan dia sedang menunggu pelanggannya namun suspek yang berang bertindak menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan dahinya luka.
Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau dan menerima lima jahitan pada luka di dahinya itu.
Anbalagan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan serta pemandu limusin itu akan direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan. – Bernama











