Pemandu bas Rapid mengaku ambil syabu - Utusan Malaysia

Pemandu bas Rapid mengaku ambil syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Seorang pemandu bas Ra­pid KL yang merempuh tujuh kenderaan di Jalan Ampang di ibu negara Khamis lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Md. Khairol Anuar Mohamad, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat selepas didakwa melakukan kesalahan tersebut di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 7.40 malam, 17 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Mahkamah bagaimanapun be­­lum menjatuhkan hukuman sebaliknya menetapkan sebutan kes pada 24 September ini bagi mendapatkan laporan patologi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rasid mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia menanggung ahli keluarga dan seorang anak berusia lapan bulan.

“Isteri tidak bekerja malah mempunyai masalah kesihatan dan saya perlu menanggung keluarga dengan gaji RM1,200 sebulan. Keluarga hanya mempunyai wang RM3,000 untuk jamin saya,” kata Md. Khairol Anuar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Isteri dan ahli keluarga tertuduh turut berada di galeri awam bagi mengikuti prosi­ding tersebut yang bermula pada pukul 1 petang.

Dalam kejadian pada 16 Ogos lalu, sekurang-kurangnya empat cedera selepas tujuh buah kereta dilanggar oleh sebuah bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Jalan AU2 Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kira-kira pukul 8 malam.

Satu klip video berdurasi 1 minit 40 saat yang memaparkan bas berkenaan dipandu secara laju dan bahaya sambil dikejar oleh beberapa orang penunggang motosikal turut tular dalam media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN