KUALA LUMPUR 21 Ogos – Para pemain industri diminta supaya memperkukuhkan hala tuju dan membuat persediaan bagi menghadapi pasaran yang dinamik pada masa hadapan terutama impak daripada perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ini kerana kebanyakan pemain industri berada dalam kitaran perniagaan dan margin pula bersandarkan kepada kuasa pasaran.
Katanya, dengan menjangkakan pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik, persaingan dijangka lebih sengit memandangkan masing-masing berusaha meningkatkan pertumbuhan dalam kimia khusus secara agresif berbanding komoditi bahan kimia.
“Dalam konteks ini, Asia Pasifik sentiasa menjadi pasaran utama. Sebagai contoh, syal AS yang disokong oleh pengembangan projek petrokimia termasuk India, China dan Asia Barat akan meningkatkan bekalan olefin dan derivatif ke rantau ini.
“Sehubungan itu, kapasiti etilena dijangka berkembang sekitar tujuh juta tan setahun (mtpa) sekali gus memberi tekanan pada unjuran margin. Kami menjangkakan harga etilina akan menurun daripada AS$550 (RM2,253) satu tan metrik pada 2019 kepada AS$350 (RM1,433) satu tan metrik menjelang 2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada perasmian Persidangan Industri Petrokimia Asia (APIC) 2018 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming dan Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA), Akbar Md. Thayoob.
Menurut Wan Zulkiflee, dalam sektor minyak dan gas, dasar-dasar berkaitan tenaga dipacu oleh inisiatif global untuk mengurangkan pelepasan karbon dan kebiasaannya dalam industri petrokimia, perlindungan alam sekitar akan menjadi satu daripada pertimbangan pengguna dan pembuat dasar.
Katanya, adalah penting bagi industri untuk bekerjasama secara holistik terutama dari segi penyelidikan dan pembangunan bagi produk mesra alam sekitar yang bernilai tinggi, teknologi pengeluaran yang terkini dan keupayaan membangunkan bakat-bakat baharu bagi memenuhi keperluan pengguna.
“Untuk itu, kami terbuka kepada sebarang kerjasama yang mampu memenuhi aspirasi ini. Apatah lagi dengan beroperasinya Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pada 2019 dan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), kami akan meningkatkan penglibatan dalam penghasilan produk yang lebih inovatif dan khusus,” katanya.
Ditanya mengenai kedudukan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penasihat Petronas yang akan ditamatkan kontrak, beliau enggan mengulas lanjut sebaliknya menyifatkan ia sebagai keputusan Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, dalam majlis sama, Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) turut melancarkan 10 jenama baharu bagi produk isononanol, polimer dan syal sedia ada dan akan datang bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran serantau.











