LEGENDA hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menaruh harapan tinggi skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia yang akan membuka tirainya 18 Ogos ini.
Mirnawan, 46, percaya Malaysian Tigers mempunyai kebolehan untuk merealisasikannya, sekali gus mencipta sejarah baharu arena hoki negara dengan memperbaiki pencapaian terbaik di pentas Sukan Asia iaitu pingat perak pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Ia juga membolehkan anak-anak buah Stephen Van Huizen layak automatik pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun selepas kali terakhir Malaysia bermain di pentas berprestij tersebut pada tahun 2000 di Sydney, Australia ketika Mirnawan masih beraksi sebagai penyerang kebangsaan.
“Sebenarnya sudah lama saya mahu berkongsi perasaan, pengalaman dan harapan kepada pasukan hoki lelaki. Jadi, hari ini lebih kepada sesi luahan hati ke hati dengan para pemain memandangkan saya juga bekas pemain kebangsaan.
“Saya berkongsi dengan para pemain agar dapat menaikkan semangat mereka supaya fokus ke arah mencapai objektif pada Sukan Asia iaitu mencatatkan sejarah baharu menang pingat emas buat kali pertama dan layak ke Sukan Olimpik 2020 tercapai.
“Skuad negara mempunyai dua peluang untuk layak pada Sukan Olimpik 2020. Sukan Asia 2018 adalah peluang pertama dan ia sudah ada di depan mata. Jadi, saya harap para pemain memanfaatkan peluang ini dengan cara lebih mudah,” katanya.
Mirnawan yang pernah dianggap antara penyerang terbaik dunia berkata demikian pada sesi latihan terakhir Malaysian Tigers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam sebelum berlepas ke Indonesia esok.
Turut hadir Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden MHC, Profesor Datuk Dr. S. Shamala.
Skuad negara yang kini menduduki ranking No. 12 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, Bangladesh, Oman, Thailand dan Kazakhstan manakala Kumpulan A terdiri daripada India, Korea Selatan, Jepun, Sri Lanka, Hong Kong dan Indonesia.











