PUTRAJAYA – Tempoh jawatan perdana menteri yang dihadkan kepada dua penggal sebelum ini mungkin ditangguhkan kerana ia memerlukan pindaan Perlembagaan yang menghendaki sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembaharuan itu antara yang perlu ditangguhkan sehingga Pakatan Harapan (PH) mendapatkan sokongan mencukupi di Parlimen.
“Satu perkara yang tak mungkin kita lakukan ialah perkara-perkara yang perlu pindaan Perlembagaan ini tak dapat dilakukan kerana kita tak punyai dua pertiga ahli dalam Parlimen.
“Tetapi berkenaan perkara-perkara tertentu, jika kita dapati kelakuan dari parti lawan bahawa mereka akan sokong dan memberi sokongan dua pertiga kepada pindaan, barulah kita akan buat tindakan-tindakan yang perlu kelulusan dua pertiga daripada Parlimen,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.
Menyebut had tempoh jawatan perdana menteri sebagai contoh, Dr. Mahathir memberitahu, beliau akan berbincang dengan parti pembangkang tidak lama lagi.











