KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menyiasat dakwaan Polis Thailand bahawa 41 butir bom tangan dibuat daripada bahan yang boleh dijumpai di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sedang menjalankan kerjasama yang rapat dengan polis Thailand untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut.
“Sehingga masa kini, kita masih dalam proses untuk mengenal pasti kesemua individu yang terlibat dengan penemuan bom tangan tersebut.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan untuk membantu mengesan kesemua suspek berdasarkan senarai yang telah diberikan oleh polis Thailand,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega 1.0 Perangin Aedes di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman di sini hari ini.
Akhbar Kosmo! pada hari ini melaporkan Polis Kelantan memburu lapan warga Thailand berdasarkan senarai yang diterima daripada polis Thailand dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan 41 butir bom tangan buatan sendiri di Takbai, Narathiwat pada Jun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua nama tersebut diterima polis Kelantan selepas mesyuarat dengan Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Manus Siksamut bagi membincangkan kerjasama dua hala negara pada 16 Ogos lalu.
Menurut beliau, polis Thailand mendakwa bahan letupan yang dijumpai di Takbai diperbuat daripada bahan yang boleh dijumpai di negara ini.
Beliau berkata, setakat ini belum ada tangkapan ke atas kelapan-lapan suspek berkenaan dan siasatan masih diteruskan.
Akhbar baru-baru ini melaporkan polis Thailand menemui 41 butir bom buatan sendiri bersama alat peledaknya di dalam sebuah trak pikap yang ditahan ketika sekatan jalan di Kampung Saring di Takbai.
Bom buatan sendiri itu didakwa dibawa dari Sungai Golok untuk dihantar kepada seorang lelaki yang dapat meloloskan diri ke daerah berkenaan. – K! ONLINE











