PCG pantau perang dagang AS-China - Utusan Malaysia

PCG pantau perang dagang AS-China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) memantau impak daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang boleh menjejaskan industri petrokimia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan dan Ketua Pe­gawai Eksekutifnya, Datuk Sazali Hamzah berkata, setakat ini perniagaan berjalan seperti biasa dan belum menunjukkan sebarang ke­san-kesan yang negatif dalam tempoh terdekat.

Katanya, bagaimanapun dalam tempoh jangka masa panjang ia berkemungkinan memberi kesan kepada pertumbuhan perindustrian di China dan sebagai sebuah negara kuasa ekonomi, keadaan itu boleh menjejaskan negara-negara serantau.

“Tetapi kami melihat keadaan boleh kembali seperti biasa dan tiada sebarang ancaman yang serius. Ini membolehkan kami menjalankan perniagaan dengan baik dan dalam masa sama, pelanggan kami di China juga masih aktif meningkatkan kerjasama strategik dengan kami,” katanya selepas Persida­ngan Industri Pet­rokimia Asia (APIC) 2018 di sini hari ini.

APIC 2018 diadakan selama dua hari mulai 20 hingga 21 Ogos menghimpunkan hampir 2,000 peserta dan 47 pempamer yang menjadi platform kepada pemain industri, pembuat dasar, profesional teknikal dan peneraju perniagaan untuk mendapatkan perkembangan terkini industri petrokimia.

Awal Ogos, perang dagangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu semakin memuncak apabila pentadbiran Presiden Donald Trump meningkatkan tekanan ke atas China untuk konsesi perdagangan de­ngan mencadangkan tarif 25 peratus lebih tinggi terhadap import China yang dianggar bernilai AS$200 bilion (RM816 bi­lion).

Selain China, AS juga terjebak dengan pertikaian politik dengan Turki hingga negara berkenaan membuat tindakan balas memboikot produk elektronik dari AS termasuk Apple selepas negara ekonomi dunia itu mengenakan sekatan dan kenaikan tarif ke atas Turki berikutan penahanan seorang paderi AS.

Mengenai krisis Turki, Sazali berkata, dari segi ketidaktentuan mata wang, ia hanya memberi kesan dari segi kadar tukaran jika ringgit lemah tetapi dari segi asas perniagaan tidak memberi sebarang kesan kerana urus niaga dibuat dalam dolar AS.

“Buat masa ini, Asia Tenggara termasuk Malaysia adalah pasaran utama kami dan China pula, hanya 16 peratus dari segi volum,” katanya.

Menurut Sazali, projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) di Pengerang masih menjadi keutamaan PCG dan apabila beroperasi membolehkan syarikat meningkatkan kapasiti daripada 14.6 juta tan metrik berbanding 12.7 juta tan metrik ketika ini.

“Dari segi pembangunan sete­rusnya, kami cuba meneroka pe­luang dalam industri hiliran bukan sahaja di Pengerang tetapi juga menerusi operasi kami di Kerteh, Sabah dan Sarawak. Kami tidak sahaja memberi fokus kepada huluan tetapi juga hiliran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN