Pasar basah ibu negara kembali jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Pasar basah ibu negara kembali jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pasar basah sekitar ibu negara kembali menjadi tumpuan warga kota terutama suri rumah untuk mendapatkan pelbagai barangan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Pudu dan Pasar Keramat di sini mendapati suasana begitu sibuk dengan kunjungan pelanggan yang tidak putus-putus untuk mendapatkan barangan kering dan basah.

Peniaga juga tidak menang tangan melayani kehendak pelanggan selain turut mengambil kesempatan menawarkan harga borong sebelum menutup perniagaan mereka untuk sama-sama memeriahkan hari raya ini.

Penjual daging segar, Yusri Taharuddin, 52, berkata, bekalan daging yang diperoleh daripada pembekal tidak terjejas sekali gus harga yang dijualnya juga sama seperti hari-hari biasa.

“Bekalan Insya-Allah mencukupi lebih-lebih lagi per­belanjaan orang ramai terhadap bekalan daging mentah tidak tinggi kerana pada hari raya nanti sumbangan daging korban juga ada.

“Saya akan menutup perniagaan esok sebelum bercuti selama seminggu menyambut Aidiladha,” katanya yang sudah lebih 20 tahun berniaga di Pasar Keramat di sini.

Seorang pengunjung, Sarimah Ismail, 54, berkata, harga bahan mentah di pasar harian tidak berubah dan tidak ada peniaga yang menaikkan harga.

Katanya, persiapan bahan mentah untuk memasak mudah dicari kerana harga bekalan sayur-sayuran dan bahan kering yang lain tidak terjejas meskipun ura-ura pelaksanaan cukai baharu yang bakal diperkenalkan.

“Sebagai pengguna saya tidak bimbang kerana bahan-bahan mentah seperti daging dan ayam merupakan barangan kawalan.

“Sambutan hari raya kali ini sederhana sahaja, hanya saya bersama anak-anak kerana suami ke tanah suci menunaikan ibadah haji,” katanya yang menyambutnya di Bandar Tun Razak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN