IPOH – Pantai Hospital Ipoh (PHI) mensasarkan kira-kira 100 warga emas menyertai pertandingan berbasikal statik selama satu jam sempena Kempen Kesedaran Kesihatan Jantung di pasar raya Aeon Klebang di sini pada 2 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Chong Siet Fong berkata, penyertaan 100 warga emas berbasikal tanpa henti itu juga merupakan cubaan pihaknya untuk memecahkan rekod di Malaysia Book of Records.
“Para peserta warga emas ini akan menyahut cabaran berbasikal statik selama satu jam tanpa henti sempena Kempen Kesedaran Kesihatan Jantung yang diadakan.
“Kempen ini dijalankan bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga jantung sempena Hari Jantung Sedunia yang disambut pada 29 September setiap tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Siet Fong, program tersebut juga memberi penekanan kepada orang ramai dan warga emas mengenai gaya hidup sihat.
“Antara aktiviti yang diadakan sempena kempen tersebut termasuk saringan kesihatan percuma, pemeriksaan tekanan darah, kaunseling kesihatan dan zumba selain tarikan utamanya iaitu pertandingan berbasikal statik selama sejam untuk warga emas tersebut.
“Program kali ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak antaranya Pusat Aktiviti warga emas UTC Ipoh, Jaycycle Fitness Centre, Aeon Mall Ipoh Klebang, Kelab Rekreasi Ejen Prudential Perak, Body Work Fitness, RV Fitness Center dan Body Aligment Warehouse Gym,” katanya.
Turut berlangsung pada hari tersebut ialah pertandingan berbasikal statik selama dua jam bagi orang awam berumur 55 tahun ke bawah.











