SEREMBAN – Kerajaan negeri Sembilan akan menjalankan operasi pemutihan ke atas tanah milik kerajaan negeri yang diteroka secara haram.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, sebahagian tanah tersebut didapati telah diceroboh sejak berbelas tahun lalu.
“Kita dapati sebahagian besar tanah yang diceroboh itu digunakan untuk tanaman kelapa sawit dan keledek.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti kira-kira 900 ekar (364 hektar) tanah milik kerajaan negeri di Tampin diceroboh. Kita akan memulakan pemutihan ini di Tampin sebelum ke daerah-daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata, pencerobohan ke atas tanah milik kerajaan negeri itu mengundang kerugian kepada kerajaan Negeri Sembilan.
Justeru, katanya, tindakan pemutihan yang bakal dilakukan termasuk mengeluarkan notis pengosongan, denda atau dikenakan sewa.
“Kita juga mendapati sebilangan penceroboh itu dari luar Negeri Sembilan. Operasi pemutihan akan dijalankan oleh Pejabat Tanah Daerah,” katanya. – Bernama











