Nicol, Sivasangari rebut emas - Utusan Malaysia

Nicol, Sivasangari rebut emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 25 Ogos – Malaysia hanya menunggu keputusan rasmi untuk menambah satu lagi pingat emas dan perak menerusi skuasy selepas Datuk Nicol David dan S. Sivasangari menguasai perlawanan akhir individu wanita esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat ini, kontinjen negara hanya mengumpul satu emas iaitu menerusi skuad trio boling wanita namun esok sudah pasti akan mendapat emas kedua tetapi siapa atlet yang bakal merangkulnya akan ditentukan oleh Nicol dan Sivasangari selepas mereka menewaskan lawan masing-masing dalam separuh akhir hari ini.

Kemaraan ke final di Pusat Skuasy Gelora Bung Karno di sini menyaksikan ratu skuasy negara Nicol berada di landasan terbaik untuk meraih pingat emas keempat berturut-turutnya dalam sejarah Sukan Asia selepas menundukkan Dipika Pallikal Khartik dari India 11-7, 11-9, 11-6.

Kemaraan bekas pemain No.1 dunia itu kemudian diikuti pemain remaja Sivasangari yang turut menampilkan aksi cemerlang pada penampilan pertamanya dalam Sukan Asia apabila menundukkan C. Joshana dari India 12-10, 11-6, 9-11, 11-7 untuk memastikan aksi final menjadi milik Malaysia.

Nicol berkata, perlawanan hari ini sememangnya sukar kerana Joshana merupakan seorang pemain yang suka menyerang dan membuatkan dirinya terpaksa bertahan dengan baik sebelum mengatasinya.

Katanya, dia perlu menang dalam dua set awal kerana tidak mahu lawannya itu mendapat rentak permainan sekali gus akan menyukarkannya untuk melangkah ke pentas final.

“Keputusan ini tidak menggambarkan kesukaran perlawanan ini kerana dia adalah pemain yang kuat melakukan serangan dan saya perlu kekal fokus untuk mengatasinya.

“Memang menjadi harapan saya untuk bertemu seorang lagi pemain negara di final,” katanya yang melangkah ke pentas final Sukan Asia buat kali keenam berturut-turut sejak 1998.

Sivasangari berkata, keputusan melangkah ke final adalah sesuatu yang sememangnya diimpikan terutama selepas bertemu dua lawan yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam ranking dunia sebelum ini.

“Peluang untuk menentang Nicol di pentas final adalah seperti mimpi menjadi realiti.

“Saya tidak pernah bertemu Nicol di pentas sebesar ini dan saya berazam untuk menundukkannya esok,” katanya.

Dalam edisi empat tahun lalu di Incheon, skuasy menyumbang dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa, menjadikan mereka antara pasukan paling konsisten menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

Sementara itu, Mohd. Nafiizwan Adnan mengesahkan gangsa selepas kalah 11-5, 11-6, 5-11, 5-11, 9-11 kepada Max Lee dari Hong Kong di separuh akhir individu lelaki. – UTUSAN

Nicol berada di landasan terbaik untuk meraih pingat emas keempat berturut-turutnya dalam sejarah Sukan Asia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini