KUALA LUMPUR 13 Ogos – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dikecam kerana mengeluarkan kenyataan sensitif serta menghina Jalur Gemilang dan bendera MCA dengan menyamakan logo 14 bucu bintang yang terdapat pada kedua-dua bendera itu sebagai logo durian Musang King.
Jurucakap publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, 14 bucu bintang pada bendera MCA adalah melambangkan 14 buah negeri dalam negara sama seperti bucu bintang yang terdapat dalam Jalur Gemilang.
Katanya, kenyataan Kor Ming itu adalah sama seperti memperkecilkan dan merendah-rendahkan simbol yang terdapat dalam kedua-dua bendera berkenaan.
“Bagaimana Kor Ming boleh tidak tahu atau ‘buta’ untuk mengenal pasti 14 bucu bintang dalam bendera MCA dan Jalur Gemilang adalah merupakan terjemahan daripada 14 bucu bintang yang mewakili negeri-negeri di Malaysia?
“Simbol berkenaan menyatukan warganegara di setiap negeri tanpa mengambil kira fahaman politik masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










