KUALA LUMPUR 17 Ogos – Nasib keluarga mangsa kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, di sini pada 8 Ogos lalu terbela apabila disediakan unit kediaman sementara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, bantuan itu diberikan sementara menunggu kerja-kerja membaik pulih kediaman mangsa yang ditanggung sepenuhnya oleh DBKL selesai.
“Kerja-kerja baik pulih yang sedang dilakukan dijangka siap pada awal September ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 1.50 petang itu menyebabkan kerosakan bilik utama dan ruang tamu unit di tingkat tujuh berkenaan.
Sementara itu, Wan Mohammad Ghazali menasihatkan penghuni PPR supaya meningkatkan kesedaran tentang bahaya kebakaran dan melengkapkan diri dengan pengetahuan menggunakan alat pemadam kebakaran. – UTUSAN ONLINE











