Nasib Dr. Nur Ilyani belum diputuskan - Utusan Malaysia

Nasib Dr. Nur Ilyani belum diputuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 14 Ogos – Kementerian Kesihatan belum memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan tatatertib atau tidak terhadap Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi, pegawai perubatan yang menulis surat terbuka mengkritik anak Perdana Menteri, Datin Marina Mahathir berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, isu tersebut masih tidak dibincangkan secara teliti dan Dr. Nur Ilyani pula setakat ini dibenarkan bertugas seperti biasa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Walau bagaimanapun kata beliau, secara asasnya, kandungan surat Dr. Nur Ilyani adalah kenyataan peribadi dan tidak menggambarkan dasar diamalkan Kementerian Kesihatan terhadap golongan LGBT.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) sudah buat kenyataan sebelum ini dan saya enggan tambah apa-apa. Kita berpegang kepada prinsip tidak mendiskriminasi golongan LGBT.

“Saya belum dapat komen apa-apa (tindakan tatatertib ke atas Dr. Nur Ilyani) kerana kita belum bincang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Baru-baru ini, satu surat terbuka tulisan Dr. Nur Ilyani kepada Marina berhubung isu LGBT yang disiarkan di akaun Facebook miliknya tular dalam media sosial.

Berikutan itu, beliau telah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) oleh pihak tertentu yang turut menggesa agar doktor wanita yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Kesihatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN