KUALA LUMPUR 14 Ogos – Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang terkenal dengan sikap berani dan lantang bersuara secara terbuka hari ini meminta Datuk Seri Najib Tun Razak menjarakkan diri daripada UMNO.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau bersetuju dengan saranan penulis pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia, Ahad lalu supaya Najib memberi ruang kepada kepemimpinan UMNO sedia ada untuk meneruskan perjuangan parti dengan wajah baharu.
Jelas beliau, bekas Perdana Menteri itu perlu memberi ruang sepenuhnya kepada Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memimpin parti terbesar orang Melayu itu.
“Ini bukan soal setia atau tidak, tetapi ini soal sayangkan parti. Apatah lagi Najib sekarang didakwa, jadi kalau beliau tidak lepas sepenuhnya kepada Ahmad Zahid, UMNO sukar hendak bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa Najib harus mengikuti tindakan bekas Perdana Menteri sebelum ini seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memberi peluang pemimpin baharu parti memimpin.
Nazri juga secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan rekod dirinya yang sepanjang berada dalam bidang politik tidak pernah melawan atau menentang Perdana Menteri.
Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, sokongan itu disuarakan kerana masyarakat telah membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, justeru Dr. Mahathir perlu diberi peluang memimpin sekurang-kurangnya dua tahun.
“Tiada masalah, beliau Perdana Menteri saya dahulu. Saya tak pernah tinggalkan UMNO, beliau tinggalkan UMNO tapi beliau sekarang Perdana Menteri, kita kena sokong, saya tiada rekod lawan Perdana Menteri.
“Selama 28 tahun saya berada dalam kerajaan, jadi selepas tempoh tersebut saya hendak membangkang kerajaan, agak susah melainkan mereka ada membuat kesalahan, lagipun saya memang tiada budaya menentang Perdana Menteri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Nazri berkata, beliau juga menyokong langkah Dr. Mahathir mengarahkan beberapa agensi penguatkuasaan mendedahkan tentang kes SRC International Sdn. Bhd.
Beliau turut menyatakan perasaan terkejut apabila mengetahui mengenai pendedahan dan pembongkaran berhubung laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).











