KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan dua projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bagi menentukan sama ada terdapat salah laku.
Najib berkata, rakyat berhak mengetahui jika keputusan membatalkan itu dibuat atas alasan yang munasabah serta kukuh dan tidak dibuat bersandarkan kepada kemarahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) atau terhadap kerajaan China yang tidak mahu tunduk dengan kemahuan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sehingga kesemua dokumen itu didedahkan, saya kecewa dan sedih bagi penduduk pantai timur Semenanjung kerana akan kehilangan pembangunan pemangkin kemajuan negeri mereka serta peluang untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi sama seperti yang diperoleh penduduk di pantai barat,” katanya.
Najib berkata demikian dalam satu kenyataan beliau menerusi Facebook mengulas pembatalan projek ECRL dan TSGP bernilai berbilion Ringgit yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam lawatan ke China baru-baru ini.
“Saya tidak mahu memberi komen terhadap kenyataan ‘Najib adalah bodoh’ atau tidak sebagaimana dikeluarkan (Perdana Menteri) Tun Mahathir di China. Perjanjian projek-projek itu memang ada klausa penamatan (exit clauses). – Bernama











