Musa kini jalani rawatan susulan di Singapura - Utusan Malaysia

Musa kini jalani rawatan susulan di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dikatakan perlu dirujuk ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura terlebih dahulu bagi rawatan susulan berkaitan pembedahan pintasan jantung sebelum kembali ke Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara tersebut didedahkan oleh Setiausaha Politiknya, Mohd. Joh Wid menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook peribadinya kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Menurut Mohd. Joh, Musa tidak pernah melarikan diri sebaliknya sedang menjalani rawatan kesihatan di Hospital Clementine Churchill, London.

“Beliau (Musa) membuat keputusan untuk kembali ke tanah air walaupun tindakan ini bertentangan dengan nasihat doktor pakar perubatan yang merawatnya di hospital London,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan keberadaan Musa setakat ini sama ada di London atau Singapura.

Tambah Mohd. Joh, sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sabah sebelum ini, Musa sanggup korbankan kepentingan kesihatan demi kepentingan negeri ini.

Musa tidak mendedahkan kepada umum kesakitan yang dialami kerana enggan menjejaskan keyakinan rakyat, parti pimpinannya termasuk para pelabur.

“Kini tiba masanya beliau akan pulang menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga tanpa paksaan daripada mana-mana pihak,” jelasnya lanjut.

Terdahulu, semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu, Musa yang kini dalam senarai orang dikehendaki Bukit Aman, Kuala Lumpur akan pulang ke negara ini dalam masa terdekat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN