KUALA LUMPUR 24 Ogos – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis setelah gagal mendapatkan perintah mahkamah dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya dekat sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, penahanan Musa bertujuan bagi membantu siasatan ke atas dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
“Kertas siasatan berkaitan kes ini dijangka akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin ini (27 Ogos).
“Polis Diraja Malaysia memberi jaminan bahawa siasatan terhadap beliau dijalankan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Musa yang merupakan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dikatakan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Selangor sebaik selamat tiba di negara ini pada pukul 6.45 petang, Selasa lalu.
Beliau sebelum ini turut menjalani rawatan di Hospital Clementine Churchill di London, United Kingdom (UK) dan meneruskan rawatan kesihatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura berkaitan pembedahan pintasan jantung sebelum pulang ke Malaysia. – UTUSAN ONLINE











