KUCHING – Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Mukah dan Sibu merekodkan bacaan tidak sihat, masing-masing pada 140 dan 124 setakat pukul 1 petang ini akibat keadaan jerebu.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) beberapa bahagian lain di negeri itu mencatatkan bacaan kualiti udara sederhana iaitu Samarahan (90), Kuching (88) dan Sarikei (85).
Menurut JAS, keadaan cuaca panas yang berterusan sejak lebih dua minggu memburukkan lagi kejadian kebakaran tanah gambut di Daro selain jerebu yang dibawa angin dari Kalimantan.
Selain itu, JAS juga mengesan ratusan titik panas di Kalimantan Barat berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia antaranya di Singkawang dan Sambas.
Susulan itu, JAS menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka selain mengelakkan aktiviti riadah di kawasan terbuka serta minum air yang banyak. – Bernama











