Mohd. Shafie arah tindakan segera hentikan kematian gajah - Utusan Malaysia

Mohd. Shafie arah tindakan segera hentikan kematian gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 30 Ogos – Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri diarah mengadakan mesyuarat khas bersama pengusaha ladang sawit bagi mencari jalan penyelesaian menangani kes-kes kematian gajah Pygmy Borneo yang meningkat tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua agensi terlibat dan badan penguat kuasa juga diarah untuk bekerjasama mengatasinya termasuk menangani aktiviti pemburuan gajah.

Tegas beliau, pertembungan antara manusia dan hidupan liar bukanlah alasan untuk haiwan itu dibunuh atau dicederakan, justeru perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Inisiatif ini memerlukan kerja keras semua agensi untuk bekerjasama dengan masyarakat yang hidup di penempatan yang selalu dimasuki gajah termasuk kawasan kebun dan ladang-ladang sawit.

“Saya mengarahkan dua kementerian ini untuk adakan perjumpaan khas dengan pengusaha ladang sawit supaya mereka boleh mengingatkan pekerja masing-masing agar turut menentang pemburuan haram dan pembunuhan gajah di kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Sabtu lalu, bangkai seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan di kawasan ladang sawit di Tongod menjadikan sebanyak 25 kes kematian haiwan itu direkodkan tahun ini.

Kematian haiwan berkenaan dipercayai akibat pemburu haram berikutan satu kesan tembakan ditemukan di bahagian kepala gajah terbabit.

Mohd. Shafie berkata, kerajaan amat memahami bahawa pengusaha ladang dan pekebun juga berhak untuk menjaga tanaman daripada dirosakkan oleh haiwan itu, namun mereka tidak boleh mengambil tindakan membunuh khazanah alam itu.

Sehubungan itu katanya, masyarakat juga perlu menjadi mata dan telinga untuk membantu pihak berkuasa menangkap pemburu haram memandangkan keadaan geografi yang sukar serta hutan yang luas menyebabkan penguatkuasaan sukar dijalankan secara berkesan.

“Konflik manusia dan haiwan ini bukan alasan untuk membunuh, menjerat atau meracun haiwan itu kerana ia dilindungi undang-undang dan kerajaan mahu memastikan habitat gajah dipulihara demi generasi akan datang.

“Jabatan Hidupan Liar juga telah diarah menyediakan hotline untuk dihubungi masyarakat yang tinggal di kawasan yang selalu dimasuki gajah agar tindakan segera dapat diambil,” tambahnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini