KUALA LUMPUR 24 Ogos – Penyanyi Misha Omar terharu dengan maklum balas yang diterima menerusi single terbaharunya berjudul Sampai Bila.
Lagu hasil ciptaan Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri itu yang dimuat naik sejak 13 Jun lalu telah mencatatkan lebih dua juta tontonan dalam Youtube.
“Alhamdulillah lagu itu berjaya menghiburkan pengikut muzik tempatan dan dalam masa sama saya bersyukur kerana masih diterima di industri.
“Tahun ini juga saya lihat, lebih ramai penyanyi seangkatan saya antaranya Siti Sarah dan Liza Hanim kembali mewarnai pentas hiburan.
“Ya, saya gembira dengan situasi itu dan lagi bersemangat nak keluarkan single lagi. Meskipun kita sedia tahu, tahun ini juga ramai artis baharu yang sudah mula mengukir nama dan bakat.
“Tetapi, artis lama seperti kami masih tidak dilupakan dan saya sendiri pun masih aktif menjayakan undangan nyanyian,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.











