Minyak boleh cecah AS$100 - Utusan Malaysia

Minyak boleh cecah AS$100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Harga minyak mentah diunjur mencecah AS$100 (RM410) setong menjelang hujung tahun ini atau awal 2019 sekiranya Iran mengurangkan pe­ngeluarannya berikutan sekatan yang dilaksanakan Presiden Do­nald Trump ke atas negara tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Presiden Pasaran dan Hiliran Minyak IHS Markit, Victor Shum berkata, bagi separuh kedua 2018, harga purata minyak mentah Brent dijangka berlegar pada AS$78 (RM320.07) setong dan kemudiannya berada dalam keadaan tidak menentu antara AS$75 (RM307.76) setong hingga AS$85 (RM348.80) setong.

Katanya, disebabkan pentadbiran Trump yang dilihat tidak stabil dalam tempoh setahun lalu dan sukar dijangka, ia menyebabkan pasaran minyak banyak bergantung kepada keputusan AS terutama membabitkan Iran dan Venezuela.

“Bagaimanapun, prospek bagi pertumbuhan minyak dunia ma­sih kekal cerah buat masa ini tetapi perang dagangan dan harga minyak yang tinggi akan memberi risiko kepada industri mi­nyak dan gas. Ini kemungkinan menyaksikan berlakunya gangguan dalam pengeluaran utama minyak Iran dan kapasiti pengeluaran akan menyusut.

“Dalam masa sama, ia bukan sahaja melibatkan pengurangan pengeluaran minyak dari Iran dan Venezuela tetapi juga negara-negara teluk utama iaitu Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Apabila mereka mening­katkan pengeluaran, pa­saran mi­nyak semakin sengit ke­rana tiada kapasiti pengeluaran yang ditinggalkan menyebabkan harga minyak boleh melonjak sehingga AS$100 setong.

“Persoalannya, bila ia boleh bertahan. Pada AS$100 setong ia boleh kekal dalam tempoh yang lama tetapi harga minyak yang tinggi boleh mencetuskan ketidaktentuan ekonomi dan kemudiannya menyebabkan per­tumbuhan ekonomi yang perlahan dan permintaan minyak menurun. Akhirnya harga mi­nyak akan jatuh dengan cepat sekitar AS$60 (RM246.21) setong yang dijangka berlaku sekitar 2019,” katanya selepas Persidangan Industri Petrokimia Asia (APIC) 2018 di sini hari ini.

Mei lalu, Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran dan mengenakan sekatan terhadap anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). AS juga menolak sekutunya untuk mengurangkan import minyak Iran hingga sifar dan akan melaksanakan satu lagi pusingan sekatan terhadap jualan minyak Iran pada November.

Trump turut meminta OPEC untuk mengeluarkan lebih ba­nyak minyak bagi menurunkan harga. Semalam, Iran memberi­tahu OPEC tiada negara anggota dibenarkan mengambil alih bahagian eksport minyak yang lain dengan menyatakan keprihatinan Taheran terhadap tawaran Arab Saudi untuk mengeluarkan lebih banyak minyak bagi menghadapi sekatan AS ke atas jualan minyak Iran.

Dalam sesi perbincangan bertajuk Mewujudkan Nilai Pada Masa Hadapan oleh IHS Markit pada persidangan tersebut, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Global IHS Markit, Mark Eramo berkata, pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini adalah kukuh walaupun momentum semakin perlahan.

“Dengan risiko yang semakin meningkat, ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan termasuk harga minyak yang tinggi, ketidaktentuan politik dan kemungkinan berlaku perang dagangan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kimia Khusus IHS Markit, Tony Potter berkata, Singapura, Malaysia dan Thailand adalah pengendali petrokimi yang matang dan mempunyai pasaran domestik yang lebih besar.

Katanya, Malaysia akan menjadi pengeksport derivatif olefin apabila projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) beroperasi yang dijangka suku pertama 2019.

“Bagaimanapun, Singapura dan Thailand perlu bersaing de­ngan kos eksport derivatif olefin yang rendah dari Asia Barat dan AS. Tetapi, negara di rantau ini misalnya Indonesia, mempunyai akses yang mudah kepada negara-negara pengeluar domestik yang berpotensi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN