KUALA LUMPUR 26 Ogos – Menteri Luar Sri Lanka, Tilak Marapana akan membuat lawatan rasmi ke Malaysia esok yang turut dijadualkan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kunjungan Marapana turut diiringi pegawai-pegawai kanan dari kementeriannya.
Jelas kenyataan itu lagi, selain bertemu Timbalan Perdana Menteri, Marapana juga dijangka bertemu dengan rakan sejawatnya, Datuk Saifuddin Abdullah.
“Ini merupakan lawatan rasmi julung kali Marapana ke Malaysia sejak memegang jawatan Menteri Luar Sri Lanka pada Ogos tahun lalu.
“Lawatan ini akan membolehkan Sri Lanka dan Malaysia mempereratkan hubungan dua hala selain meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lain. Malah, ia turut membuka peluang untuk kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan mengenai perubahan global dan isu-isu semasa,” jelas Wisma Putra lagi. – UTUSAN ONLINE











